Dapat VS Beri


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Salam,

Terdetik hendak menulis artikel yang kemungkinan ada kena-mengenanya dengan diri ini dan sahabat-sahabat lain.

Atas inspirasi ‘quote’ dari saifulislam (Ust Hasrizal) dalam blognya, ‘Erti Hidup Pada Memberi’ , saya terpanggil untuk mengulasnya berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan pengalaman sendiri.

Mengapa terkadang kita tidak rasa puas hati kepada rakan, keluarga atau teman yang hidup, bekerja, tinggal bersama-sama kita jika sedikit kesilapan berlaku. Mengapa kita selalu merungut apa yang sepatutnya kita dapat? tanpa memikirkan apa yang sepatutnya kita berikan.

Contoh 1:

Sahabat kepada sahabat.

Kadang-kadang kita ada rasa tak puas hati, sebab sahabat kita tidak pandai menjaga hati kita, tidak melakukan perkara yang sepatutnya mereka lakukan terhadap kita.

Sebagai contoh, kamu tinggal di asrama bersama sahabat-sahabat lain, bermakna anda tinggal satu bumbung dengan mereka. Tetapi bila anda pulang dari kelas, anda lihat rumah anda bersepah, tiada siapa yang mengemaskannya. Anda terus merungut dan merungut, memarahi rakan-rakan anda sehinggakan ikatan persahabatan anda semakin longgar atas perkara ini. Sedangkan rumah anda masih dibiarkan bersepah.

Mengapa tidak anda berlapang dada dan bersangka baik kepada sahabat anda. Mungkin mereka tidak mempunyai masa untuk mengemasnya, jika anda sendiri membantu untuk mengemaskannya. Tidak timbullah masalah-masalah yang disebutkan tadi iaitu rumah terus bersepah, hubungan semakin renggang dan sebagainya.

Bahkan, oleh kerana pengorbanan anda tersebut, anda mendapat keberkatan dan pahala, sahabat anda akan lebih tersentuh atas kemuliaan hati anda dan mungkin mereka sendiri akan faham, dan mereka sendiri akan mengemasnya selepas ini. Kan cantik akhlak mulia ini, akhlak inilah yang di tunjukan oleh Rasulullah SAW, sehinggkan islam boleh sampai kepada kita.

Contoh 2:

Suami kepada Isteri atau sebaliknya, ataupun yang seumpama dengannya.

Sebagai seorang suami atau isteri, kita mestilah berpegang kepada prinsip hidup untuk memberi. Sekiranya kedua-kedua belah pihak berpegang pada prinsip ini, maka tiadalah akan berlaku masalah penceraian. Banyak kita dengar di media-media, berlakunya penceraian, permohonan fasakh dan sebagainya. Ini disebabkan oleh mereka berkahwin untuk mendapatkan hak mereka lebih dari memikirkan apa hak-hak yang mereka perlu penuhkan. Jika berlaku konflik sedikit, terus mencari jalan mudah dengan cara perpisahan (Nauzubillah).

Jikalaulah perkahwinan itu dibina dengan asas untuk menunaikan hak masing-masing, maka insyaALLAH, perkahwinan tersebut akan mendapat keberkatan dan berkekelan insyaALLAH. Contoh cerita yang dikongsikan disini (cerita ini juga diambil dari ceramah Ust Hasrizal) ialah apabila si suami dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat berkerja, didalam kereta, si suami menjangkakan apa yang isterinya sediakan dirumah, dia merasakan dia patut mendapat layanan baik dari isterinya sejurus selepas sampai ke rumah.

Menjangkakan, makanan tersedia, senyuman isteri dihadapan pintu menunggu si suami dan lain-lain. Si isteri pula menjangkan sesuatu dari suaminya semasa pulang dah haknya ditunaikan selepas penat lelah si isteri menjaga anak dan rumah. Apabila si suami tersebut melihat isterinya tidak melakukan apa yang si suami jangkakan, maka, masing-masing bermasam muka. Hubungan pun menjadi renggang.

Apa salahnya kalau kedua-dua belah pihak tidak menjangkakan haknya ditunaikan, tetapi berusaha untuk menununaikan hak pasangan mereka? Si suami semasa pulang ke rumah pulang ke rumah memberikan senyuman kepada si isteri, si isteri bersedia untuk menyambut kepulangan suaminya dengan sambutan kasih sayang. Maka, suasana mahabbah (kasih sayang) bertambah, rumahtangga bahagia. Hubungan suami isteri semakin rapat.

Saya harap anda nampak perbezaan antara dua keadaan tersebut :

1- Apabila seseorang menjangkakan haknya ditunaikan (menerima).

2- Apabila seseorang menjangkan hak orang lain, dia perlu tunaikan (memberi).

dan boleh nampak kesannya masing-masing.

Jadi sebagai penutup, saya ingin mengajak rakan-rakan memikirkan setiap apa hak orang lain perlulah ditunaikan. Jangan hanya menjangkakan orang lain untuk menunaikan hak kita.

ibnulatef

Leeds

23022010

2 Comments

Filed under Renungan

2 responses to “Dapat VS Beri

  1. ibnu yusoff

    salam

    jazakallahukhairankasira atas peringatan yang jelas~ moga Allah swt merahmati dan menggerakkan hati kita semua untuk terus memberi tidak hanya menanti~

    astaghfirullah~

  2. dwaejji-tokki

    agree. tgn yg memberi lebih baik dari yg mnerima

Leave a reply to dwaejji-tokki Cancel reply